KUCHING: Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak permohonan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk mencabar tuntutan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi mendapatkan semula jaminan bank berjumlah RM7.95 juta.
Memetik laporan Berita Harian, Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah memutuskan bahawa permohonan tersebut tidak mempunyai asas yang sah dari segi undang-undang. Beliau menjelaskan, isu yang perlu diputuskan hanyalah sama ada tuntutan terhadap jaminan bank itu tidak sah atau menyalahi undang-undang sebagaimana dinyatakan dalam Notis Usul (OS) yang difailkan oleh PETROS.
Menurut beliau, tuntutan yang dibuat oleh PETRONAS adalah sah kerana ia selaras dengan terma jaminan bank yang bersifat ‘on-demand’ dan tanpa syarat. Ini bermakna jaminan berkenaan boleh dituntut melalui permintaan bertulis tanpa perlu memenuhi sebarang syarat tambahan.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa wang jaminan tersebut telah pun diterima dan digunakan, sekali gus menjadikan permohonan injunksi bagi menghalang tuntutan itu tidak lagi relevan.
Hakim turut menyatakan bahawa PETROS tidak memohon sebarang deklarasi untuk mencabar kesahihan Perjanjian Jual Beli Gas (SGSA), mahupun memohon pengisytiharan bahawa Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) terpakai ke atas PETRONAS sehingga memerlukan lesen negeri.
Beliau menegaskan bahawa jaminan bank tersebut merupakan jaminan tanpa syarat yang boleh dituntut atas permintaan bertulis, tanpa perlu membuktikan terlebih dahulu berlakunya pelanggaran kontrak.
Dalam prosiding berkenaan, PETROS diwakili Tan Sri Cecil Abraham, Sim Hui Chuang, Lim Lip Tze dan Rosalie Tien, manakala PETRONAS diwakili Datuk Cyrus Das, Khoo Guan Huat dan Alex Ngu Sze Sha. Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung, hadir sebagai pemerhati bagi pihak kerajaan Sarawak.
Ketika ditemui di lobi mahkamah, Joo Chung berkata isu perlembagaan akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan memandangkan Mahkamah Tinggi hanya membuat keputusan berhubung aspek komersial tanpa menilai persoalan perlembagaan.
Menurut beliau, perkara itu dijadual dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2026, dengan kemungkinan tarikh tambahan akan ditetapkan.
Sementara itu, Cyrus memaklumkan mahkamah turut memerintahkan PETROS membayar kos sebanyak RM50,000 selepas gagal membuktikan bahawa tuntutan tersebut tidak berpatutan atau menyalahi undang-undang.
Katanya, mahkamah berpendapat isu perlembagaan berada di luar skop saman pemula dan perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Sehubungan itu, persoalan mengenai kesahihan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) akan dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“PETRONAS dijadual memohon kebenaran pada 16 Mac ini, manakala Kerajaan Sarawak turut memfailkan petisyen berasingan,” katanya.
Baca juga:








