Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berhubung Titah Adendum yang dikatakan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan Najib di Penjara Kajang, di mana beliau sedang menjalani hukuman penjara berkait kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan.
Hukuman asal adalah penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Bagaimanapun, pada awal 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Kes SRC ini merupakan sebahagian daripada siri pendakwaan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dianggap antara kes rasuah terbesar dalam sejarah negara.
Najib sebelum ini memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan serta melaksanakan Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dokumen itu didakwa memberi ruang kepada beliau untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menolak permohonan tersebut, sekali gus menutup peluang Najib untuk keluar dari Penjara Kajang melalui mekanisme itu.








