SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Ismanira Abdul Manaf untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin ketika menyampaikan keputusan berkata, tiada keadaan khas yang membolehkan penangguhan hukuman sementara menunggu proses rayuan.
“Mahkamah mendapati tiada alasan kukuh untuk membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman,” katanya.
Ismanira, 30, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya yang merupakan kanak-kanak autisme sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan beliau menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun, menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam serta membayar cagaran RM3,000.
Permohonan penangguhan hukuman difailkan pada 19 November lalu sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.








