PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan seorang wanita yang mahu diisytiharkan bukan beragama Islam serta beberapa perintah berkaitan status agama dan pengenalan diri.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Wan Fadhilah Nor selepas mendengar hujahan semua pihak dalam tindakan Saman Pemula bertarikh 23 Mac 2023.
Menurut prosiding, wanita berkenaan yang diwakili peguam Karthigesan memohon agar rekod agamanya dikemas kini kepada bukan Islam dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain menukar nama daripada Noor Hakimah Binti Mohd Hafiz Balakrishna kepada Gayatri Nair a/p Balakrishna.
Dalam penghakimannya, Hakim Wan Fadhilah menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan tidak boleh diterima sebagai tuntutan ‘ab initio bukan Islam’ atau kes yang menunjukkan pemohon tidak pernah beragama Islam.
Sebaliknya, kes tersebut dikategorikan sebagai ‘renunciation’ atau keluar daripada agama Islam, yang tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang tertentu.
“Menurut Yang Arif, perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, yang mengehadkan campur tangan Mahkamah Sivil dalam perkara berkaitan Islam,” katanya.
Mahkamah turut meneliti rekod dokumentari yang menunjukkan pemohon pernah melalui beberapa siri pengisytiharan sebagai seorang Islam termasuk dalam permohonan kad pengenalan, perkahwinan serta perceraian secara Islam.
Selain itu, terdapat bukti bahawa pemohon telah memeluk agama Islam ketika berusia empat tahun bersama ibu bapanya termasuk Kad Perakuan Masuk Islam yang dikeluarkan mengikut Peraturan No. 2 Masuk Islam (Selangor) di bawah Enakmen 1952.
Hakim berkata, bukti dokumentari tersebut adalah keterangan penting dan konklusif yang tidak boleh diketepikan hanya berdasarkan dakwaan amalan peribadi dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Dahlia Dhaima.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan wanita berkenaan dan memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM4,000.
Difahamkan, pihak responden terdiri daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang diwakili peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, bersama pasukan peguam Danial Farhan Zainul Rijal, Ain Sakinah, Hariz Yusoff dan Isyraf Rusydi.
Manakala, Responden 1 iaitu Kerajaan Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diwakili peguam Amalina.








