TAMPIN: Mahkamah Tinggi Majistret, Tampin hari ini menuduh suspek utama dalam kes pembunuhan Suri Narudin yang tular mayatnya dijumpai di dalam beg di Kampung Batu 4, Pedas pada 18 Disember lalu.
Memetik Buletin TV3, tertuduh yang dikenali Zainizan Zainal, 51 telah didakwa atas pertuduhan membunuh mangsa.
Tertuduh hanya mengangguk faham seusai pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Redza Azhar Rezali.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan kini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Zainizan didakwa membunuh Suri Narudin, 53 di kawasan belakang sebuah rumah di Rembau antara 7 hingga 18 Disember lalu.
Difahamkan kes mangsa telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Semasa prosiding hari ini, pihak pendakwa raya memohon satu tarikh baharu untuk mendapatkan keputusan penuh bedah siasatan malah memohon agar tertuduh diberikan sebarang jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan menunggu laporan bedah siasat serta forensik.
Kes telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan polis menemukan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Batu 4, Pedas.
Sebelum penemuan itu, Polis Daerah Ampang memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita dikenali sebagai Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember.
Kelmarin, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan mayat yang ditemukan itu adalah Suri Narudin hasil analisis cap jari yang sepadan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Selain itu, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia turut menunjukkan hubungan kekeluargaan yang rapat dengan sampel yang dianalisis.
Susulan penemuan mayat itu, polis menahan dua lelaki di Melaka dan Genting Sempah dalam tempoh 24 jam, dengan seorang daripada mereka dipercayai suspek utama yang mengenali mangsa.
Jenazah Suri Narudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam, Chembong, kira-kira pada pukul 8.15 malam, Rabu lalu.
Baca juga:








