Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA:(KEMASKINI) Bekas Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), Datuk Seri Paduka TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa 15 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, Maimunah dilantik menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh yang telah tamat tempoh sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 14 Ogos.
Katanya, pelantikan Maimunah telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Kamarulzaman Mat Salleh atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, katanya, Maimunah, 63, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.
Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya selama 6 tahun dan merupakan wanita Asia pertama yang memegang jawatan tersebut.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).
“Dengan pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti, beliau adalah individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan,” katanya.
Selain itu, Maimunah telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom, Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG) dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.
Beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sebelum ini, timbul desas-desus bahawa Kuala Lumpur akan mendapat Datuk Bandar wanita pertama dalam waktu terdekat.