MAIS peruntuk RM652,470 bantu anak yatim Selangor

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana RM652,470 bagi membantu 12,380 anak yatim di Selangor melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Menurut hantaran MAIS di Facebook, bantuan yang disalurkan adalah melalui peruntukan sumbangan Baitulmal MAIS dan Tabung Amanah MAIS kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

“Kedua-dua agensi ini merupakan anak syarikat MAIS selaku penyelaras kepada anak-anak yatim dan rumah pertubuhan anak yatim di Negeri Selangor.

“Seramai 12,380 anak-anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE bagi tahun 2025 menerima sumbangan hari raya berjumlah RM150 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan membabitkan peruntukan RM1,857,000.

“MAIS berharap agar sumbangan yang diberikan dapat membantu kebajikan anak-anak yatim seperti bantuan hari raya dan sebahagiannya juga dimanfaatkan untuk pengurusan rumah-rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE,” kata MAIS dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut MAIS lagi, penyerahan sumbangan akan diteruskan di seluruh daerah sehingga 22 Mac 2025.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin kepada Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansur, disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam satu majlis di Masjid Taman Alam Jaya, Kuala Selangor.

Dalam majlis itu, Tengku Amir turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 525 anak yatim daerah Kuala Selangor, sebahagian daripada 1,102 penerima di daerah itu dengan jumlah peruntukan RM165,300.

Anda Mungkin Berminat