MAIS: Program Pro-LGBT cubaan normalisasi gaya hidup songsang di Malaysia

MAIS: Program Pro-LGBT cubaan normalisasi gaya hidup songsang di Malaysia

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menolak sekerasnya-kerasnya sebarang percubaan yang bertujuan menormalisasikan gaya hidup songsang seperti komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia.

Menerusi satu kenyataan media pada Sabtu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin
berkata, MAIS memandang serius satu laporan media yang melibatkan penganjuran program serta usaha mempromosikan gaya hidup LGBT yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

“Sebagai badan bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di negeri Selangor, MAIS menentang keras sebarang bentuk aktiviti mana-mana pihak yang bertujuan mempromosi, menyokong, dan menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBT,” katanya.

Dalam nada tegas, MAIS mengingatkan kepada seluruh orang Islam untuk tidak menyertai, mempromosi, menyokong atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikaitkan dengan normalisasi gaya hidup songsang dan LGBT.

Ini kerana katanya, ianya bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah turut bercanggah dengan undang-undang, nilai budaya timur serta norma masyarakat di Malaysia.

MAIS turut menyeru masyarakat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda normalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak masyarakat Islam.

Pada masa sama, MAIS menasihatkan kepada golongan yang telah terjebak dengan gaya hidup songsang itu untuk kembali kepada fitrah asal dengan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh MAIS, pihak berkuasa agama lain atau pihak NGO yang menawarkan pemulihan yang berkaitan.

Justeru, pihaknya menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa dan agensi kerajaan demi memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang dan LGBT yang merosakkan masyarakat kini dapat disekat serta dicegah.

“MAIS juga akan bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi Kerajaan lain untuk memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai suatu usaha untuk memastikan budaya songsang ini tidak lagi diamalkan di Negeri ini,” ujarnya.

Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata kemungkaran berkaitan dengan isu normalisasi LGBT wajar ditolak secara bersama serta tidak berdiam diri apabila melihat generasi kini kian dibesarkan dalam keadaan songsang.

“Kemungkaran mesti ditolak secara bersama. secara kolektif. Saya tahu ramai memilih diam.

“Takut kena label alim, acah bagus, kita lebih peduli apa manusia cakap berbanding pandangan Allah pada kita.

“Ini bukan isu agama tertentu, tetapi soal nilai dan tanggungjawab moral,” katanya di laman rasmi Facebooknya pada Sabtu.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan satu penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat hujung minggu depan tetap akan diteruskan walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak.

Difahamkan, program anjuran kumpulan pro-LGBT yang dikenali sebagai Jejaka itu digambarkan sebagai satu ‘retreat’ berdasarkan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Dakwa kumpulan tersebut, aktiviti itu tidak melanggar undang-undang negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat