MAIS: Tauliah Mohd Masri ditarik kerana langgar peraturan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar penceramah bebas, Mohd Masri Mohd Ramli kerana didapati melanggar Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, penarikan itu selepas menerima aduan awam berhubung salah laku Mohd Asri.

“Siasatan terperinci telah dijalankan Jawatankuasa Kecil Aduan dan Siasatan selaras dengan Peraturan Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

“Berdasarkan laporan dan syor diterima, Jawatankuasa Tauliah membuat keputusan untuk menarik balik tauliah mengajar kepada individu tersebut berkuatkuasa pada 04 Disember 2024.

“Ini kerana beliau didapati telah melanggar perenggan 22(b) (iii), 22(c) dan 22(f) Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIS juga mengesahkan bahawa individu tersebut telah mengemukakan rayuan bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Tauliah.

“Dan perkara ini akan ditimbang teliti dan diputuskan Jawatankuasa Rayuan selaras dengan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Abdul Aziz juga menggesa semua pemegang tauliah mengajar agama Islam untuk mematuhi dan tidak melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan.

Tegas beliau, mana-mana pihak termasuk pemegang tauliah mengajar yang melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Dalam hal ini, jelasnya jika kesalahan itu dilakukan oleh pemegang tauliah mengajar, tauliah mengajarnya juga boleh ditarik balik menurut Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

“Mana-mana orang yang berkelayakan boleh memohon tauliah mengajar bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau serta melaksanakan dakwah di negeri Selangor.

“Namun, semua pihak hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 serta fatwa yang telah diwartakan,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Masri menerusi laman sosial Facebooknya memaklumkan beliau sudah menerima surat mengesahkan penarikan tauliah mengajar agama di Selangor minggu lalu.

Menurut Mohd Masri, ia susulan soal siasat antara beliau dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 7 November lalu, yang turut menyentuh mengenai isu istighathah dan tauhid tiga yang dibincangkan beliau menerusi laman sosial Facebooknya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat