PETALING JAYA: Majikan di seluruh negara diberi amaran keras oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) agar segera mendaftar dan mencarum pekerja mereka sebelum tempoh pemutihan berakhir pada 30 April 2025.
Menurut kenyataan PERKESO, tempoh pemutihan itu menawarkan peluang keemasan kepada majikan yang masih belum berdaftar untuk memperbaiki keadaan tanpa risiko tindakan undang-undang seperti pendakwaan atau kompaun.
Namun, PERKESO menegaskan tiada lanjutan akan diberikan selepas tarikh akhir itu.
“Memasuki 1 Mei, tiada maaf bagimu. Ops Kesan akan digerakkan secara besar-besaran terhadap majikan di seluruh negara,” kata kenyataan PERKESO pada Rabu.
PERKESO turut mengingatkan majikan bahawa kesalahan di bawah undang-undang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000, sekali gus menjamin setiap pekerja mendapat perlindungan sosial yang merupakan hak asasi mereka.
“Ops Kesan edisi ke-16 tahun ini mendapati kadar ketidakpatuhan majikan terhadap tanggungjawab mencarum pekerja masih tinggi, sekitar 13 hingga 17 peratus setiap tahun.
“Majikan dari tiga sektor utama dikenal pasti sebagai antara yang paling liat untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam sidang media turut mendedahkan majikan sektor penginapan, makanan, dan minuman paling bermasalah dengan 880 kes kompaun dan pendakwaan sejak tahun lalu.
Katanya lagi, dua lagi sektor adalah premis penyelenggaraan kenderaan dan salun kecantikan (658 kes) serta sektor pengeluaran (590 kes).