Majlis Aidilfitri MADANI: Simbol keharmonian, kemajuan negara

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Aidilfitri bukan sekadar bulan kemenangan bagi umat Islam yang berjaya menempuh Ramadan tetapi juga simbol kejayaan negara yang terus melangkah maju dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

Dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), beliau berkata, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan, tenaga hijau dan industri semikonduktor menjadi pemacu utama kejayaan negara.

“Kejayaan juga boleh diukur di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan apabila rakyat menikmati pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang rancak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Majlis yang penuh warna-warni itu turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka serta barisan pemimpin kerajaan.

Kehadiran rakyat pelbagai kaum dan agama menambah kemeriahan, mencerminkan keharmonian yang menjadi tunjang Malaysia MADANI.

Anwar turut menekankan komitmen kerajaan terhadap projek prasarana rakyat seperti sekolah, tebatan banjir dan sistem perparitan yang bertujuan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Segala yang terkait dengan kebajikan rakyat perlu disiapkan segera dan dilaksanakan sebaiknya agar dapat dimanfaatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau juga berharap kemeriahan serta keberkatan Syawal terus dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

“Saya berbangga melihat kemeriahan sambutan Aidilfitri yang begitu penuh dan kegembiraan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat