Keputusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang memberi subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada pelajar Institut Pelajar Tinggi (IPT) di Sabah disambut baik oleh Majlis Belia Sabah (MBS).
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, pihaknya sedia maklum dengan keluhan pelajar IPT sebelum ini menyatakan bahawa mereka tidak mampu untuk pulang ke kampung halaman akibat harga tiket penerbangan yang sangat tinggi.
“Pengumuman yang dibuat Ketua Menteri Sabah merupakan berita baik buat anak-anak Sabah yang kebanyakannya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Kami berharap agar kerajaan negeri terus komited dan cakna dengan isu melibatkan belia di negeri ini di samping mengambil inisiatif untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, MBS turut memuji kerajaan negeri Sabah yang sentiasa menyantuni belia dengan mengadakan pelbagai program seperti Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) dan Dewan Belia Sabah.
Terdahulu, Hajiji menyatakan kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk bantuan tiket subsidi penerbangan sebanyak RM600 seorang secara one-off buat pelajar IPT di Sabah.
Baca juga: