Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Professor Pelawat ISTAC-UIAM, Prof Jasser Auda atas pencerahan dan wawasannya mengenai konsep Madani dan hubungannya dengan agama.
Menurut Anwar, beliau melihat kepentingan meneroka instrumen ilmu Islam merentasi isu yang menjadi perhatian seperti perubahan iklim, isu transisi tenaga, transformasi digital dan kewangan Islam.
“Alhamdulillah, Majlis Ilmu Madani di Seri Perdana, Putrajaya diteruskan semalam bersama dengan Professor Dr Jasser Auda, Professor Pelawat ISTAC-UIAM yang juga Presiden Institut Maqasid Global.
“Saya zahirkan penghargaan kepada Prof Dr Jasser Auda atas pencerahan dan wawasannya mengenai konsep Madani dan hubungannya dengan agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Yang hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mukhtar dan Timbalan Menteri, Senator Dr Zulkifli Hassan.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan merasmikan Kuliah Madani di Seri Perdana, Putrajaya pada Jumaat.
Syarahan Madani disampaikan oleh Prof Jasser Auda, yang juga Presiden Maqasid Institute Global, badan pemikir yang berdaftar dan menjalankan projek penyelidikan dan pendidikan di beberapa negara.
Jasser berkongsi pandangannya tentang metodologi Maqasid dan mengulas mengenai rangka kerja Madani.
Baca juga: