Majlis Ilmu MADANI Kukuh Peranan Malaysia Dalam Diplomasi Islam Global

PUTRAJAYA: Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana, malam tadi, bukan sahaja mempertemukan pemimpin negara dengan tokoh dakwah dunia tetapi turut memancarkan mesej mendalam tentang perpaduan sejagat dan keindahan Islam sebagai agama rahmah.

Menurur hantaran di Facebook Perdana Menteri, yang turut hadir dalam majlis itu ialah Syeikh Dr Ahmad Aissa Hassan El-Ma’sarawi (Mesir), Dr Haifaa Younis (Amerika Syarikat), Syeikh Yusuf Islam (Cat Stevens) (United Kingdom) dan Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani (Gambia).

“Peluang mendengar titipan hikmah dan ilmu dari para tamu ini memberi inspirasi untuk kita terus bekerja keras meratakan ihsan dan kasih sayang sesama manusia melalui kebaikan dan keindahan Islam,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menyentuh isu sensitif seperti pembakaran al-Quran di Sweden dan konflik berterusan di Gaza serta menegaskan bahawa hikmah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan suara Malaysia adalah kunci utama dalam menangani isu antarabangsa.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas pandangan para tetamu dan menerima doa khusus daripada Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani serta mengakhiri majlis dengan seruan Quranik yang mengajak kepada perpaduan dan ketakwaan.

“Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan,” katanya yang memetik Surah Al-Ma’idah, ayat 2.

Anda Mungkin Berminat