NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang digubal Amerika Syarikat bagi menyokong pelan damai Gaza, sekali gus membuka jalan ke arah keamanan berkekalan dan usaha pembinaan semula wilayah yang musnah akibat konflik berlarutan.
Resolusi 2803 itu diluluskan dengan undian 13 menyokong, tiada menentang, manakala Rusia dan China memilih untuk berkecuali.
Ia memberi mandat kepada penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa selama dua tahun serta sebuah badan pentadbiran sementara yang dikenali sebagai ‘Board of Peace’ untuk mengawasi pemulihan ekonomi dan pembangunan semula Gaza.
Duta AS ke PBB, Mike Waltz, menyifatkan langkah itu sebagai ‘bersejarah dan konstruktif’ kerana bukan sahaja menjamin keselamatan Israel tetapi juga membuka peluang kepada Gaza untuk kembali makmur.
Resolusi tersebut turut menetapkan penanda aras bagi pengunduran Israel, yang dikaitkan dengan pematuhan Hamas terhadap gencatan senjata.
Ia sekali gus memberi legitimasi antarabangsa kepada pelan damai 20 perkara yang diumumkan Presiden Donald Trump sebelum ini.
Namun, kontroversi tetap timbul apabila resolusi itu menyebut kemungkinan masa depan penubuhan negara Palestin iaitu satu isu yang mencetuskan bantahan dalam kalangan sebahagian pemimpin Israel.
Institusi global termasuk Bank Dunia, PBB dan Kesatuan Eropah menyokong resolusi berkenaan dengan menekankan kepentingan mandat jelas bagi badan pentadbiran sementara untuk mengurus pembinaan semula Gaza.








