Majlis Media Malaysia Umum Lantikan Ahli Lembaga Pengasas

PETALING JAYA: Majlis Media Malaysia secara rasmi mengumumkan lantikan ahli lembaga pengasas yang terdiri daripada wakil pemilik media, profesional industri dan kumpulan berkepentingan awam dalam usaha memacu ke arah kebebasan media dan kelangsungan industri.

Permohonan keahlian untuk menyertai majlis itu akan dibuka mulai awal Ogos dan ditutup pada akhir September.

Dengan bayaran pendaftaran hanya RM10, pemohon boleh mengakses borang di laman web rasmi, www.majlismedia.my.

Dalam mesyuarat pertamanya, Premesh Chandran dari Malaysiakini telah dipilih sebagai Pengerusi Interim sehingga pemilihan rasmi lembaga baharu pada Mesyuarat Agung Tahunan yang dijadualkan berlangsung pada 7 November di Kuala Lumpur.

“Membina sebuah majlis berwibawa dan berkesan bagi melindungi kebebasan media serta menyokong kelangsungan industri memerlukan keahlian yang aktif, besar dan komited,” kata Premesh yang turut menyuarakan harapan agar seluruh ekosistem media bersama memikul tanggungjawab memperkukuh institusi ini.

Antara isu penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat agung itu termasuklah struktur yuran keahlian, kod etika industri, mekanisme aduan, belanjawan dan undang-undang kecil operasi majlis.

Dalam usaha memastikan keterangkuman, kerajaan turut diberi kuasa untuk melantik dua lagi wakil tambahan ke dalam lembaga berkenaan.

Berikut ialah senarai ahli lembaga pengasas mengikut kategori:

Wakil Pemilik Media
– Phyllis Wong (Utusan Borneo)
– James Sarda (Sabah Publishing House)
– Premesh Chandran (Malaysiakini)
– Ashwad Ismail (Astro Awani)

Wakil Profesional Media
– Teh Athira Yusof (Kesatuan Kebangsaan Wartawan)
– Radzi Razak (Gerakan Media Merdeka)
– Ronnie Teo (Persatuan Wartawan Bahagian Kuching)
– Muthameez Manan (Persatuan Media Tamil)

Wakil Berkepentingan Awam
– Gayathry Venkiteswaran (Universiti Nottingham Malaysia)
– Celine Lim (SAVE Rivers)
– Terence Ooi (Wiki Impact)
– Azmyl Yunor (Universiti Sunway)

Anda Mungkin Berminat