Majlis Pendidikan Negara Ditubuh, Komitmen Bendung Buli – PM

Oleh: Nadhirah Akmam

PARLIMEN | Kerajaan mengambil langkah tegas memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan murid dengan menubuhkan Majlis Pendidikan Negara, satu badan baharu yang bakal menyelaras pandangan ibu bapa, guru dan pakar akademik dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan majlis itu di Dewan Rakyat pada Khamis, sebagai sebahagian daripada pelan menyeluruh menangani isu buli dan penderaan yang semakin membimbangkan.

“Kerajaan setuju menubuhkan Majlis Pendidikan Negara supaya segala pandangan dapat diselaras dan langkah-langkah penambahbaikan dapat diperkemaskan,” katanya.

Majlis itu dijangka menjadi platform penting bagi mempertemukan suara pelbagai pihak dalam merangka dasar pendidikan yang lebih inklusif dan berkesan, khususnya dalam menangani cabaran disiplin dan keselamatan di sekolah.

Anwar turut menjelaskan keputusan kerajaan membenarkan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekolah sebagai langkah pencegahan yang tidak bertujuan menakutkan pelajar tetapi untuk membendung jenayah dan salah laku yang kian meningkat.

“Kita faham ada kebimbangan dalam kalangan pendidik dan akademik, namun keputusan ini perlu bagi mengekang kes buli, penderaan dan salah laku yang kian meningkat,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pelan tindakan, Anwar berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terpilih.

Langkah itu katanya, disusuli dengan penambahan kaunselor terlatih dan pembantu warden asrama, termasuk dari kalangan veteran tentera bagi memperkukuh sokongan psikososial dan pengawasan pelajar.

Anwar turut menekankan kepentingan pendidikan yang seimbang dalam membentuk nilai moral dan akhlak pelajar agar mereka bukan sahaja memahami teori agama tetapi mampu menerapkannya dalam kehidupan seharian.

Anda Mungkin Berminat