PETALING JAYA: Selepas tiga tahun menerajui pentadbiran negara, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengadakan mesyuarat penting pada Selasa bagi menilai semula pencapaian reformasi institusi, pelaksanaan manifesto serta isu-isu utama yang menyentuh urus tadbir kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut disertai oleh semua ahli Majlis Presiden.
Menurut Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil, antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memperkukuh dasar ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam konteks ketidaktentuan global yang berterusan.
“Perbincangan turut memberi tumpuan kepada ikhtiar memperkukuh dasar ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam suasana cabaran global yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fahmi, Majlis Presiden turut mendalami keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru berlangsung termasuk kesannya terhadap landskap politik nasional dan agenda pembaharuan yang sedang digerakkan.
Susulan itu katanya, mesyuarat memutuskan bahawa beberapa aspek reformasi institusi perlu diberi keutamaan dan dilaksanakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, PH turut bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Pakatan Harapan pada suku pertama tahun 2026.
Konvensyen itu dijangka menjadi medan penting untuk menetapkan fokus reformasi dan hala tuju negara bagi dua tahun akan datang.
“Konvensyen ini penting bagi menyelaraskan pendirian dan memperkukuh komitmen PH terhadap agenda pembaharuan,” katanya.
Untuk rekod, Pakatan Harapan mula mentadbir Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Disember 2022 dengan komitmen terhadap reformasi institusi, tadbir urus baik dan pemulihan ekonomi negara.








