Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China yang dinaik taraf (ACFTA 3.0) berjaya dilaksanakan dengan penuh tertib dan bersejarah pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sesi itu menjadi tumpuan antarabangsa dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bersama Perdana Menteri China, Li Qiang, menaiki pentas bagi menyempurnakan sesi tandatangan rasmi sebelum diteruskan dengan Mesyuarat FTA ASEAN-China di Dewan 2, KLCC.
Turut menyaksikan detik bersejarah ini ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bersama barisan pemimpin tertinggi ASEAN iaitu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Penandatanganan ACFTA 3.0 itu menandakan kejayaan besar usaha kolektif ASEAN dan China dalam memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan serantau.
Ia turut membuka lembaran baharu kepada integrasi ekonomi yang lebih mampan dan inklusif, terutama dalam sektor digital, tenaga hijau serta rantaian bekalan.
Baca juga:
 
													 
													 
													








