Majoriti MP Setuju Sistem ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ Bebankan Pengguna

PETALING JAYA: Majoriti Ahli Parlimen bersetuju skim “beli sekarang, bayar kemudian” (BNPL) perlu dikawal rapi bagi melindungi pengguna berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berpendapat ianya hanya ‘menjerat’ pengguna.

“Saya bimbang skim ini boleh wujudkan ‘along-along kecil’. Ramai pengguna setuju guna BNPL kerana mudah dapat duit,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, transaksi BNPL meningkat kepada RM102.6 juta pada suku pertama 2025 dengan nilai mencecah RM9.3 bilion. Walaupun ia hanya 0.2 peratus daripada hutang isi rumah, pengguna tetap berisiko.

“Tanpa kawal selia, pengguna mudah terjebak, lebih-lebih lagi golongan rentan dan kurang celik kewangan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pula mencadangkan pusat data khas ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Kredit Pengguna bagi memantau BNPL tanpa jejaskan skor kredit Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

“BNPL bukan pinjaman besar, malah digunakan untuk keperluan asas. Jika dimasukkan dalam CCRIS, pengguna mungkin sukar dapat pinjaman rumah atau kereta,” katanya.

Rodiyah juga mahu komitmen BNPL dikira pada peringkat isi rumah kerana jumlah akaun boleh melebihi kemampuan sebenar keluarga.

Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 dijangka diluluskan hari ini, dengan cadangan utama menubuhkan Suruhanjaya Kredit Pengguna bagi kawal selia penyedia kredit bukan bank.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat