KUALA LUMPUR: Peniaga kecil seperti Makcik Kiah masih layak menggunakan tong gas masak berwarna hijau bersubsidi selagi memenuhi syarat yang ditetapkan, tegas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh.
Menurut beliau, terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai keperluan beralih kepada tong gas tanpa subsidi berwarna ungu (tong “purple”).
Penjelasan ini dibuat bagi memastikan golongan peniaga kecil tidak terkesan dengan maklumat yang tidak tepat.
“Peniaga kecil seperti Makcik Kiah masih boleh menggunakan tong gas hijau bersubsidi, asalkan tidak melebihi tiga tong gas 14 kilogram pada satu-satu masa.
“Ini bersamaan jumlah maksimum 42 kilogram,” jelas Fuziah dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Contohnya, jika seorang peniaga menggunakan satu tong untuk goreng pisang, satu untuk memasak mee, dan satu lagi untuk menyediakan minuman, mereka masih dalam kategori yang layak menerima subsidi.
Menurut beliau, peniaga kecil yang dijadikan contoh seperti `Makcik Kiah’ masih boleh mengguna tong gas hijau bersubsidi.
Tong gas berwarna ungu pula hanya diwajibkan untuk pengguna industri dan komersial berskala besar, seperti restoran besar, hotel dan kilang, yang menggunakan gas dalam jumlah yang tinggi dan tidak lagi layak menerima subsidi kerajaan.
Fuziah turut menasihatkan agar orang ramai tidak menimbulkan kekeliruan dengan menyebarkan maklumat yang tidak sahih, kerana langkah kerajaan adalah untuk memastikan subsidi terus dinikmati oleh golongan kecil dan sederhana yang benar-benar memerlukan.
“Jangan takut-takutkan rakyat dengan info kurang tepat. Yang penting, bantuan kerajaan sampai kepada yang benar-benar layak,” tegas beliau.
Kerajaan kini giat memantau penggunaan subsidi agar tidak disalahgunakan, sambil mengekalkan sokongan kepada golongan peniaga kecil dalam usaha mengurangkan kos sara hidup.








