Maklumat Keselamatan Negara Bocor: AMANAH Desak Siasatan Penuh Demi Maruah ATM

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, menyuarakan kebimbangan serius berhubung laporan penahanan lima anggota tentera dari bahagian risik yang didakwa membocorkan maklumat keselamatan negara.

Dalam kenyataan media pada Khamis, beliau berkata, insiden tersebut bukan sekadar isu disiplin tetapi menyentuh maruah dan kedaulatan negara yang perlu dipertahankan tanpa kompromi.

“Kes itu bukan sahaja menyentuh soal disiplin, malah menyentuh soal maruah serta kedaulatan negara yang mesti dipertahankan tanpa kompromi,” katanya.

Mahfuz turut menyeru orang ramai agar tidak panik, memandangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bertindak pantas bagi memastikan operasi dan kesiapsiagaan negara kekal terpelihara.

“Ini bukti bahawa sistem keselamatan kita masih berfungsi dengan baik dan institusi pertahanan negara tidak akan sesekali tunduk kepada pengkhianatan segelintir individu,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan masyarakat agar tidak menghukum keseluruhan warga ATM hanya kerana tindakan lima individu yang kini sedang disiasat.

“ATM terdiri daripada puluhan ribu anggota yang ikhlas, berkorban siang dan malam, berpisah dengan keluarga serta sanggup mempertaruhkan nyawa demi menjaga keamanan negara.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” kata beliau.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) agar terus komited memperkukuh sistem keselamatan maklumat khususnya dalam aspek risikan balas bagi mengelakkan insiden serupa berulang.

Beliau turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain menjalankan siasatan menyeluruh tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Terdahulu, lima anggota ATM telah ditahan oleh SPRM kerana disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada sindiket penyeludupan termasuk barangan larangan seperti dadah dan rokok dari negara jiran.

Anda Mungkin Berminat