BUTTERWORTH: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis methamphetamine bernilai RM37.89 juta menerusi Op Meranti dalam beberapa serbuan di sekitar Pulau Pinang pada 20 dan 21 Disember lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi tersebut membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing berusia antara 32 hingga 38 tahun.
“Seorang lagi lelaki tempatan dilaporkan maut selepas terjatuh dari aras lima ketika cuba melarikan diri.
“Polis turut merampas sebanyak 1,188 kilogram methamphetamine yang dianggarkan mampu menjejaskan seramai 5.94 juta pengguna.
“Selain pelbagai peralatan memproses dadah di beberapa lokasi termasuk sebuah premis perniagaan di Georgetown dan sebuah rumah di kawasan kebun durian di Balik Pulau,” katanya.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak Ogos 2025 dan hasil dadah dipercayai untuk pasaran tempatan serta antarabangsa.
Menurut Hussein, kesemua suspek dikenal pasti berperanan sebagai ahli kimia dan didapati positif methamphetamine hasil ujian saringan awal.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan semua suspek direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 Disember bagi membantu siasatan lanjut,” katanya lagi.
Dalam operasi sama, polis turut menyita harta bernilai RM181,000 termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda, ‘forklift’ dan kenderaan semua rupa bumi (ATV) di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.







