Oleh: Tyah Helmi
KETIKA gelombang protes besar-besaran di Indonesia semakin meruncing dan menarik perhatian dunia, rakyat Malaysia turut menunjukkan minat luar biasa terhadap perkembangan tersebut bukan sahaja dari sudut politik, tetapi juga bahasa.
Menerusi hantaran kandungan oleh pemegang akaun di laman iamhealru, memberitahu bahawa dia secara tidak langsung mempelajari beberapa perkataan dan istilah penting berkaitan situasi politik dan pentadbiran di Indonesia.
Antara perkongsian yang dikongsi adalah termasuk DPR merupakan Ahli Parlimen, Tunjangan adalah elaun.
Manakala katanya, anarkis adalah orang yang memberontak, serta jarah bermaksud merampas.
Selain itu, perkataan pajak bukan seperti yang sering didengari mengenai kaedah pertukaran kewangan tetapi di Indonesia ia merupakan terma bagi cukai.
Dalam pada itu, NPWP yang sering disebut-sebut di laman media sosial merupakan istilah yang sama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Malaysia.
Menariknya, ruang komen pada hantaran itu turut dipenuhi dengan pelbagai soalan daripada pengguna Malaysia lain yang ingin mengetahui lebih banyak perkataan dan maksud istilah dalam Bahasa Indonesia.
Malah, ada juga yang berkongsi pengalaman sendiri dalam mempelajari perbezaan bahasa antara dua negara serumpun ini.
Namun begitu, tidak terlepas juga daripada munculnya komen-komen bersifat negatif dan memperlekeh.
Segelintir pengguna mempertikaikan mengapa rakyat Malaysia perlu “belajar” perkataan yang dianggap mudah dan hampir serupa dengan Bahasa Melayu, malah ada yang menyindir bahawa kekeliruan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana hubungan linguistik yang rapat antara kedua-dua bahasa.
Fenomena ini bagaimanapun mencerminkan bagaimana konflik di sesebuah negara bukan sahaja memberi impak politik dan sosial, tetapi juga boleh membuka ruang pembelajaran silang budaya dalam kalangan rakyat serantau dalam kes ini, antara Malaysia dan Indonesia.
Dalam pada itu, warga maya di Malaysia juga dilihat semakin cakna dengan isu-isu yang dibangkitkan rakyat Indonesia, termasuk tuntutan terhadap ketelusan kerajaan, sistem cukai, dan pengagihan elaun kepada ahli parlimen mereka.
Baca juga: