‘Malam Simfoni Luka’ Janji Sarat Emosi Bersama For Revenge, Insomniacks Dan Midnight Fusic

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Tiga kugiran popular serantau bakal bergabung tenaga dalam sebuah konsert yang dijangka menyentuh jiwa dan mengalirkan emosi pada ‘Malam Simfoni Luka’ yang akan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Konsert itu akan mengetengahkan sebuah perjalanan emosi yang mengangkat tema luka, cinta dan harapan anak muda masa kini.

Melalui lirik yang jujur dan susunan muzik yang mendalam, penonton dijanjikan malam yang sarat dengan rasa dan makna.

Kumpulan For Revenge dari Indonesia dijangka menjadi tumpuan dengan aura ‘post-hardcore’ yang penuh jiwa, manakala Insomniacks tampil dengan pesona pop moden yang dekat di hati pendengar remaja.

Midnight Fusic pula melengkapkan malam dengan sentuhan alternatif ‘dreamy’ yang melankolik, menjadikan gabungan itu sebagai satu simfoni yang menyentuh pelbagai lapisan emosi.

Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, konsert ini direka sebagai ruang luahan dan penyembuhan buat peminat yang menjadikan muzik sebagai tempat bercerita dan bernafas.

“Kami mahu penonton bukan sekadar menonton tetapi turut merasai setiap emosi dalam lagu-lagu yang dipersembahkan,” katanya ketika sidang media.

Bagi mengukuhkan pengalaman itu, penonton bakal disajikan dengan susunan muzik eksklusif, visual tematik dan pencahayaan sinematik yang menambah kesan dramatik sepanjang persembahan.

Setiap elemen direka untuk membawa penonton masuk ke dalam dunia emosi yang dibina oleh ketiga-tiga kugiran.

Selain persembahan solo, peminat juga boleh menantikan segmen kolaborasi istimewa yang hanya akan dipersembahkan pada malam berkenaan, menjadikan konsert ini satu pengalaman yang tidak akan berulang.

Tiket akan mula dijual pada 14 November 2025 melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my, dan dijangka menjadi rebutan peminat muzik alternatif serta pop serantau.

Anda Mungkin Berminat