‘Malaysia Akan Hancur Jika Politik Ugutan Jadi Amalan’ – Hassan Karim

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberi teguran keras terhadap tindakan segelintir pihak yang didakwa mengamalkan politik ugutan terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil kepada Sabah.

Beliau merujuk kepada kenyataan seorang menteri dari Sabah yang mengugut untuk meletak jawatan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Tegas Hassan, tindakan sedemikian adalah tidak sihat dan tidak beretika.

“Ini politik ugutan namanya. Hal seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia boleh menggugat kestabilan pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, proses undang-undang perlu dihormati sepenuhnya kerana keputusan Mahkamah Tinggi masih tertakluk kepada semakan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Campur tangan politik, katanya, hanya akan mencemarkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Berikan ruang kepada AGC melaksanakan tanggungjawabnya.

“Jika alasan penghakiman Mahkamah Tinggi itu kukuh, Mahkamah Rayuan pasti akan mengekalkannya,” tegas beliau.

Hassan turut mengingatkan bahawa isu berhubung Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan adalah persoalan perlembagaan yang perlu diputuskan secara muktamad di Mahkamah Persekutuan, bukan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan mengabaikan hak Sabah dengan menyatakan bahawa negeri itu telah menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan Persekutuan 2026 berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Malaysia akan hancur jika politik ugutan dijadikan amalan untuk melemahkan kerajaan pusat.

“Biarlah proses undang-undang berjalan dengan tertib dan adil,” katanya.

Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah kembali mencetuskan ketegangan politik selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membenarkan semakan kehakiman berkaitan hak perlembagaan negeri itu.

Keputusan tersebut mendorong beberapa pihak di Sabah memberi amaran agar kerajaan tidak memfailkan rayuan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan pentadbiran negara.

Anda Mungkin Berminat