Malaysia Amal Sistem Raja Berperlembagaan, Bukan Raja Mutlak

PETALING JAYA: Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan bukannya Raja Mutlak, tegas aktivis dan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Marzuki.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang dilihat mengeluarkan kenyataan keras sehingga hampir menghina badan kehakiman berhubung isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Menurut Liyana, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menegaskan bahawa sistem negara ini adalah Raja Berperlembagaan, di mana kuasa Baginda terbatas kepada peruntukan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Tetapi Ketua Pemuda UMNO (Akmal Saleh) mengamuk dan dah hampir ‘borderline’ menghina mahkamah ya. Walhal YDPA dah pesan lama dah.

“Sistem negara ini ialah sistem Raja Berpelembagaan. Bukan Raja Mutlak,” katanya.

Beliau berkata, mesej itu pernah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah pada Februari lalu, yang menekankan kepentingan menghormati undang-undang.

“Ini yang YDPA Sultan Abdullah cuba sampaikan Februari lalu. Bagi mereka yang nak faham isu. Baginda minta kita hormati undang-undang,” katanya.

Liyana turut merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan tahanan rumah Najib kerana Titah Adendum yang dikemukakan tidak berpelembagaan.

“Saya hairan, yang buat keputusan itu mahkamah. Tapi dia mengamuk marahkan kerajaan semasa.

“Adakah dia fikir Perdana Menteri dan Kabinet sekarang boleh suruh dan arah mahkamah ikut cakap mereka,” soal Liyana.

Beliau berkata, pihak tertentu perlu mengingat kembali bahawa Najib dijatuhkan hukuman dan dipenjarakan ketika UMNO masih memegang tampuk pemerintahan negara.

“Zaman orang dia, Datuk Seri Ismail Sabri jadi orang nombor satu negara.

“Kalau masa UMNO jadi Perdana Menteri pun mereka tak buat apa nak selamatkan bekas Perdana Menteri kesayangan mereka.

“Kenapa bila orang lain jadi Perdana Menteri mereka menyerang pula?” soal Liyana lagi.

Anda Mungkin Berminat