PETALING JAYA:, Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan bahawa keamanan Malaysia tidak boleh dicapai dengan politik yang menyingkirkan mana-mana pihak, sebaliknya mesti berasaskan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, menyifatkan kenyataan Ketua Dewan Ulamak Pas, Ahmad Yahaya, yang mendakwa ‘Malaysia boleh aman tanpa DAP’ sebagai bercanggah dengan asas keharmonian negara.
“Malaysia tidak akan aman dengan politik yang menghukum, melabel dan menakut-nakutkan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mahfuz berkata, Malaysia tidak boleh dibina atas dasar menyingkirkan mana-mana kaum atau parti politik.
Sebaliknya, negara ini katanya, telah lama berdiri atas toleransi dan persefahaman pelbagai kaum yang menjadi asas kestabilan.
Beliau mendakwa wujud pendekatan politik yang sering menggunakan sentimen agama dan kaum secara berlebihan sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Malaysia aman kerana rakyatnya matang, bukan kerana politik kebencian,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menghentikan politik melabel, menimbulkan ketakutan serta eksploitasi isu kaum dan agama dalam wacana politik.
Mahfuz turut menggesa semua parti politik kembali kepada politik matang dan berteraskan perpaduan nasional demi kestabilan negara.







