Malaysia Anjur Sidang Kemuncak RCEP Oktober Ini – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Oktober ini, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

Sidang berprofil tinggi itu dijangka menjadi medan penting untuk menilai semula pencapaian RCEP, mempercepat pelaksanaannya dan mengukuhkan kedudukan Asia sebagai pemimpin dalam agenda keterbukaan ekonomi global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang tersebut bukan sekadar pertemuan teknikal tetapi satu usaha politik untuk menghidupkan semula semangat kerjasama serantau yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

“RCEP tidak boleh kekal hanya sebagai teks undang-undang di atas kertas.

“Ia mesti dipacu semula dengan tenaga politik,” katanya.

RCEP kini diiktiraf sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar dunia, meliputi 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Namun, Anwar berkata, keberkesanannya hanya akan terjamin jika negara anggota menunjukkan komitmen yang jelas dan berterusan.

“Tujuan sidang ini adalah untuk mengambil kira perkembangan semasa, mempercepat langkah pelaksanaan dan memberi isyarat bahawa rantau Asia masih mampu mendukung keterbukaan,” katanya lagi.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut semasa Meja Bulat Kuala Lumpur mengenai Kerjasama Serantau Asia-Pasifik anjuran Forum Boao untuk Asia, yang berlangsung di ibu negara pada Rabu.

Anwar turut menekankan bahawa penganjuran sidang ini adalah sebahagian daripada tekad Malaysia untuk memperkukuh kesentralan ASEAN, memastikan blok serantau itu kekal terbuka, inklusif dan relevan dalam menghadapi cabaran geopolitik yang semakin kompleks.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited untuk memastikan kerangka kerjasama serantau diperkukuh demi kestabilan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Sidang Kemuncak RCEP Oktober ini dijangka menghimpunkan pemimpin dari 15 negara anggota termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand serta membuka ruang kepada perbincangan mendalam mengenai masa depan perdagangan bebas, ketahanan ekonomi dan integrasi serantau.

Anda Mungkin Berminat