KUALA LUMPUR: Malaysia bersama Amerika Syarikat (AS), Kemboja dan Thailand mencapai kata sepakat untuk memperkukuh komitmen melaksanakan sepenuhnya Kuala Lumpur Peace Accord, sekali gus menandakan langkah penting ke arah keamanan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dimaklumkan selepas perbualan beliau dengan Presiden Donald J. Trump, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
“Kami menegaskan komitmen bersama bagi memastikan pelaksanaan menyeluruh serta berkesan terhadap Kuala Lumpur Peace Accord,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Menurut Anwar, semua pihak sependapat bahawa isu pembersihan periuk api (demining) perlu digerakkan dengan kemajuan yang lebih bermakna tanpa dikaitkan dengan sebarang bentuk kerjasama perdagangan.
“Saya turut menghargai komitmen peribadi serta penglibatan aktif Presiden Trump dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya.








