PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent bagi membincangkan hala tuju baharu kerjasama ekonomi dan kewangan antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, Scott Bessent mengulangi penghargaan kepada Malaysia atas layanan baik yang diberikan kepada Presiden Donald Trump dan delegasi AS sewaktu kunjungan mereka ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Trump atas lawatan yang mencerminkan iltizam tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.
“Saya menghargai peranan beliau dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global, di samping usaha memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog, keadilan serta saling memahami,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Anwar, pertemuan itu meneruskan momentum hubungan erat yang telah terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan pelbagai aspek perdagangan serta kewangan antara Malaysia dan AS.
Perbincangan turut menumpukan kepada usaha memperkukuh dasar pertukaran mata wang, kestabilan pasaran kewangan serta tadbir urus yang telus melalui kerjasama erat antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia.
Anwar menegaskan, Malaysia kekal komited memperkukuh hubungan strategik dengan AS berasaskan prinsip keterbukaan, keadilan dan saling menghormati bagi menjamin kestabilan serta kemakmuran serantau dan sejagat.
Pertemuan tersebut menyusul selepas kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menyaksikan Malaysia memainkan peranan penting sebagai pengantara serantau dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan kuasa besar dunia.
Baca juga:








