KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer bersama delegasi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan di ibu negara.
Pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai hubungan strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat, serta peranan ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau khususnya dalam bidang perdagangan.
Anwar turut menekankan kepentingan usaha memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik yang kini sedang dirundingkan antara kedua-dua negara.
“Perjanjian ini akan menjadi pemacu penting dalam menentukan hala tuju dasar serta perancangan komuniti perniagaan Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua rakan dagangan.
Katanya, kerjasama erat dengan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi domestik yang mapan.







