Malaysia Bakal Evolusi Jadi Bandar Urban AI Menerusi SCEKL-25

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia melakar satu evolusi besar sebagai bandar urban berpaksikan kecerdasan buatan (AI) menerusi penganjuran acara mega, Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL-25) yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu membawa tema ‘Bandar AI: Membentuk Masa Depan Digital Kita’, selaras dengan nilai Kerajaan MADANI yang menekankan keterangkuman, kemampanan dan kemajuan teknologi untuk kesejahteraan rakyat.

Sebagai edisi pertama Smart City Expo di Asia Tenggara, SCEKL-25 dijangka menghimpunkan lebih 10,000 peserta termasuk lebih 2,000 delegasi, 300 pempamer dan lebih 100 penceramah dari seluruh dunia.

Menurut Ketua Bahagian Industri dan Ekosistem MDEC, Gopi Ganasalingam, acara itu menjadi titik permulaan kepada transformasi Malaysia sebagai hab bandar pintar serantau.

“Malaysia kini bersedia memimpin perubahan, melalui SCEKL-25, kita mahu menunjukkan bagaimana teknologi AI boleh membentuk bandar yang lebih pintar, mampan dan inklusif untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pengenalan media untuk SCEKL-25, Malaysia Digital Xlerecation (MDX 2025) dan SmartGov Malaysia 2025 yang diadakan di Menara Exchange 106, Kuala Lumpur.

Kata beliau, acara itu dianjurkan oleh Kementerian Digital bersama MDEC dan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sokongan global daripada Smart City Expo World Congress dan Fira Barcelona.

Menurut beliau, beberapa syarikat teknologi terkemuka dunia seperti Dell Technologies, Grab Maps dan Intel turut menjadi rakan strategik dalam menjayakan ekosistem inovasi bandar pintar ini.

Difahamkan, katanya, antara fokus utama SCEKL-25 ialah mempercepat strategi bandar pintar melalui integrasi AI, membina teknologi untuk ketahanan iklim dan kecekapan tenaga serta memperkukuh ekosistem AI dengan unjuran ekonomi digital ASEAN.

“Selain itu, memperkukuh ekosistem pembinaan AI dengan unjuran ekonomi digital ASEAN.

“Merapatkan jurang digital bandar ke luar bandar menerusi literasi dan akses teknologi,” katanya.

Gopi berkata, SCEKL-25 turut memperkenalkan AI Cities Pitch Lab, sebuah platform unik yang membolehkan bandar dan inovator dari ASEAN mempersembahkan projek berasaskan AI kepada pelabur antarabangsa.

Menurut beliau, inisiatif itu menjadi pintu masuk kepada Invest ASEAN Forum yang memberi peluang awal untuk mendapatkan maklum balas, penambahbaikan dan mempercepatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Lebih menarik, katanya, projek yang disenarai pendek akan mendapat akses eksklusif ke Invest ASEAN Special Forum, sebuah platform terpilih yang direka untuk menyerlahkan inisiatif bandar pintar paling berpotensi ke pentas serantau.

“Forum itu turut membuka ruang serta peluang yang luas untuk berhubung dengan rangkaian pelabur berimpak, pembuat dasar dan rakan pembangunan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat