Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia kini berada pada titik penting untuk beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pendekatan yang lebih strategik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menerusi pembangunan Bandar AI itu, ianya menjadi asas kepada aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara AI.
“Peralihan ini bukan sekadar penerapan teknologi baharu, tetapi menuntut transformasi menyeluruh dalam cara kita merancang, mentadbir dan mengurus bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.
Perdana Menteri berkata, usaha itu memerlukan ekosistem yang kukuh, merangkumi tadbir urus AI dan data yang selamat.
Malah kata Anwar, infrastruktur digital berkapasiti tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan yang menyokong inovasi secara bertanggungjawab turut diperlukan bagi menjayakan pembangunan Bandar AI terbabit.
Ketika mempengerusikan mesyuarat khas pembangunan Bandar AI hari ini, Anwar berkata Kementerian Digital akan bertindak sebagai penyelaras utama dengan kerjasama rapat kementerian dan agensi berkaitan.
Selain itu katanya, Kerajaan Madani akan terus memperkukuh sinergi itu bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan berimpak tinggi demi memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Negara AI yang berdaya saing di peringkat global.
Baca juga:








