Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kerajaan bakal memacu transformasi industri daripada dibuat di Malaysia kepada dibuat dengan teknologi Malaysia atau lebih mudah dikenali sebagai ‘Made by Malaysia’.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, langkah berkenaan menjadikan syarikat tempatan di Malaysia untuk menjadi pencipta teknologi dan jenama tersendiri.
“Selama ini kita terlalu bergantung dan hanya menjadi kilang kepada syarikat antarabangsa, jadi kerajaan sekarang mahu ubah model itu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang meminta status dan keberkesanan rundingan antara kerajaan Malaysia dan AS melibatkan pelaksanaan tarif timbal balik.
Dalam pada itu, Chin Tong turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) pada suku ketiga ini bagi memastikan pelaburan yang diterima benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“MITI bersama Kementerian Kewangan juga akan memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu _NIIF) pada suku ketiga tahun ini untuk pelaburan dan aktiviti bernilai tinggi untuk memastikan semua pelaburan menghasilkan manfaat seperti pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
“Untuk memastikan PMKS mendapat manfaat melalui pelaburan domestik dan asing yang baharu, dan juga melalui usaha membina syarikat Malaysia menjadi MNC, Kerajaan akan mengkaji kemungkinan memperkasakan syarat-syarat lokalisasi yang dikenakan kepada pelabur asing bagi mewujudkan ekosistem berdaya tahan di Malaysia yang membolehkan syarikat-syarikat tempatan mendapat hasil limpahan,” ujarnya.
Selain itu, inisiatif lain yang sedang digerakkan termasuk termasuk Program Pengaktifan dan syarikat berkaitan kerajaan (GEAR-uP) menerusi Kementerian Kewangan yang bernilai RM25 bilion bertujuan bertujuan untuk memacu sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti semikonduktor dan peralihan tenaga serta memperkasakan komuniti terpinggir dan membangunkan bakat tempatan.
Baca juga: