Malaysia Bangga Timor-Leste Sertai ASEAN, Anwar Tegas Komitmen Kekeluargaan Serantau

PETALING JAYA: Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN disambut penuh bangga oleh Malaysia, yang melihat detik bersejarah itu sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan diplomasi serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa gembira atas kemasukan negara itu ke dalam keluarga besar ASEAN, sambil menegaskan peranan aktif Malaysia dalam menyokong proses tersebut.

“Malaysia memahami serta menggarap sejarah panjang dan penderitaan Timor-Leste di masa lalu.

“Kini, kita menulis lembaran baharu diplomasi dan pensejarahan ASEAN yang menjanjikan masa depan lebih meyakinkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar turut menekankan bahawa ASEAN bukan sekadar blok kerjasama tetapi sebuah keluarga majmuk yang berasaskan semangat kasih sayang, saling hormat dan sokongan bersama.

“Sebagai keluarga majmuk ASEAN, kita berdiri bersama atas dasar kasih sayang dan saling mendukung.

“Keyakinan ini memberi jaminan bahawa Timor-Leste akan menjadi anggota yang memperkukuh perpaduan dan suara ASEAN,” katanya.

Penyertaan Timor-Leste bukan sahaja memperluas ruang kerjasama ekonomi, politik dan sosial serantau, malah memberi inspirasi kepada negara baharu membangun untuk terus melangkah ke hadapan dengan keyakinan dan sokongan komuniti serantau.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh diplomasi serantau berteraskan nilai MADANI dengan menekankan prinsip keadilan, kesejahteraan dan solidariti antara negara anggota.

Anda Mungkin Berminat