Malaysia-Bangladesh sepakat tangani isu pelarian Rohingya

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Malaysia dan Bangladesh kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala meliputi sektor pelaburan, budaya, pendidikan dan industri strategik yang lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kunjungan Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh, Profesor Dr Muhamad Yunus ke Malaysia dan menyifatkan pemimpin itu sebagai rakan baik Malaysia.

“Kami menganggap Bangladesh sebagai rakan penting, bukan sahaja dalam aspek pelaburan dan pembangunan, tetapi juga melalui sumbangan pekerja Bangladesh kepada ekonomi Malaysia,” katanya di sidang media hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan kedua-dua negara telah bersetuju menambah pusat-pusat visa bagi memudahkan pekerja Bangladesh pulang bertemu keluarga, di samping memastikan keselamatan dan kebajikan mereka di Malaysia.

Kata Perdana Menteri, kerjasama dua hala Malaysia-Bangladesh turut diperluaskan lagi di dalam sektor tenaga dan telekomunikasi menerusi Syarikat Petronas dan Axiata.

Manakala katanya, perancangan baharu yang berjaya dibangunkan terbabit bakal memfokuskan pembangunan industri halal, STEM, penyelidikan dan semikonduktor.

Kedua-dua negara itu turut sepakat dalam memperkukuh kerjasama bagi menangani isu pelarian Rohingnya yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Yunus berkata, krisis pelarian Rohingya merupakan cabaran besar buat Bangladesh yang kini menampung populasi besar pelarian dari Myanmar.

Sehubungan itu, beliau berharap Malaysia, khususnya sebagai negara berpengaruh dalam ASEAN, dapat memainkan peranan penting dalam mencari penyelesaian jangka panjang yang mampan.

“Bila anda (Anwar) menyebut mengenai isu Rohingya, ia memang masalah besar. Kami ingin mendapatkan bantuan daripada Malaysia, khususnya selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan Malaysia adalah rakan yang baik,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar mengakui beban besar yang ditanggung Bangladesh dan menegaskan bahawa keamanan di Myanmar adalah keutamaan serantau yang tidak boleh dilengah-lengahkan.

“Sudah tentu kami bimbang dengan beban yang ditanggung Bangladesh dalam menampung jumlah besar pelarian Rohingya.

“Oleh itu, memastikan keamanan di Myanmar menjadi keutamaan besar.

“Bantuan kemanusiaan segera juga diperlukan, pertama untuk pelarian, kemudian kepada mangsa gempa bumi,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat