VIENTIANE: Malaysia memberikan komitmen sepenuhnya bagi proses permohonan terhadap keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.
Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan delegasi Timor-Leste yang diketuai oleh Perdana Menterinya, Xanana Gusmão.
Dalam pertemuan singkat yang penuh bermakna di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 itu, Anwar menyatakan kesediaan untuk membantu mempercepatkan proses permohonan Timor-Leste.
“Malaysia sedia membantu mempercepatkan permohonan Timor-Leste ini, khususnya sewaktu Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Anwar turut telah menjemput Gusmão untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan erat yang terus terjalin antara kedua-dua negara.
Dengan komitmen itu, Malaysia berharap dapat memperkuat ASEAN sebagai satu kesatuan yang inklusif dan dinamik.