PUTRAJAYA: Malaysia menyeru negara-negara Selatan Global supaya memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh prinsip multilateralisme dan menyusun semula landskap global yang semakin mencabar, khususnya susulan tindakan unilateral kuasa besar.
Perkara itu disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di Rio de Janeiro, Brazil, semalam.
“Malaysia menekankan keperluan untuk memperkukuh prinsip-prinsip multilateralisme dan menyeru negara-negara Selatan Global supaya mengorak hala tuju baharu dalam membentuk semula kerjasama antarabangsa serta menjadi peneraju dalam penyusunan semula landskap global,” katanya.
Mesyuarat itu bertemakan “The Role of Global South in Reinforcing Multilateralism” dan merupakan pertemuan pertama bagi tahun ini yang menghimpunkan menteri-menteri luar negara anggota serta negara rakan BRICS.
Mohamad turut menegaskan komitmen Malaysia dalam memperjuangkan suara dan kepentingan negara membangun selaras dengan objektif utama BRICS 2025.
“Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia turut menyeru jalinan kerjasama yang lebih mendalam antara ASEAN dan BRICS bagi mempertingkatkan kerjasama ekonomi serantau dan memperkukuh usaha kolektif ke arah ekonomi global yang lebih adil dan mampan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Malaysia turut menyuarakan sokongan terhadap enam bidang keutamaan di bawah kepengerusian Brazil termasuk perubahan iklim, perdagangan dan pelaburan, kesihatan global, kecerdasan buatan, pembangunan institusi BRICS serta reformasi sistem keselamatan dan keamanan global.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menzahirkan pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin.
“Malaysia mengulangi sokongan teguh kepada rakyat Palestin dan hak asasi mutlak mereka termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.
Terdahulu, Mohamad menghadiri Majlis Resepsi “BRICS Brazilian Experience” yang dihoskan oleh Datuk Bandar Rio de Janeiro pada 28 April bagi menyambut ketibaan menteri luar negara anggota dan negara rakan BRICS.
Beliau juga mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari Brazil, Bolivia, Cuba, Nigeria, Iran, Thailand, Rusia, Afrika Selatan dan Uganda, yang menyentuh isu-isu berkepentingan bersama.