Malaysia beli 30 pesawat boeing sebagai sebahagian rundingan tarif dengan AS

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal membeli 30 lagi pesawat Boeing dari Amerika Syarikat dengan nilai keseluruhan mencecah USD9.5 bilion, sebagai sebahagian daripada komitmen dalam rundingan pengurangan tarif import oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia.

Langkah ini menyusul selepas Washington mengumumkan penurunan kadar tarif dari 25 peratus kepada 19 peratus, berkuat kuasa hari ini, hasil beberapa siri perbincangan dua hala antara kedua-dua negara.

“Kita telah menyatakan beberapa komitmen berdasarkan pertimbangan komersial, antaranya pembelian pesawat Boeing ini,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam sidang media pada Jumaat.

Menurut beliau, pembelian fasa kedua ini menyamai nilai perolehan fasa pertama yang diumumkan pada Mac lalu, di mana Malaysia Aviation Group (MAG) telah menempah 30 buah pesawat Boeing 737.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan bahawa tempahan tersebut melibatkan 18 unit Boeing 737-8 dan 12 unit Boeing 737-10, yang dijangka diserahkan secara berperingkat sehingga tahun 2030 kepada Malaysia Airlines, anak syarikat milik penuh MAG.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa negara lain termasuk Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Kemboja dan Bangladesh turut mengumumkan pembelian besar-besaran pesawat Boeing sebagai sebahagian daripada perjanjian dagangan untuk mendapatkan kelonggaran tarif Amerika Syarikat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat