Malaysia Berarak Gagah Di Pentas Pembukaan Sukan SEA 2025

BANGKOK: Sorakan bergema di Stadium Nasional Rajamangala apabila kontinjen Malaysia melangkah masuk dengan penuh keyakinan pada acara perasmian Sukan SEA ke-33 malam tadi.

Lebih 1,100 atlet negara, diiringi lebih 500 pegawai, tampil sebagai salah satu kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaan Malaysia di temasya dwitahunan itu.

Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah, yang juga legenda renang negara, mengetuai barisan atlet dengan senyuman penuh semangat.

Jalur Gemilang pula berkibar megah di tangan dua ikon muda iaitu Andre Anura Anuar (olahraga) dan Aaliyah Yoong Hanifah (luncur air) yang dipilih sebagai pembawa bendera negara.

Stadium yang sarat dengan puluhan ribu penonton bertukar meriah dengan persembahan budaya Thailand, pancaran bunga api dan muzik tradisional yang mengiringi masuknya setiap kontinjen.

Malaysia tampil dengan 59 anggota dalam perarakan, mengenakan busana rasmi berwarna biru gelap dengan sentuhan Jalur Gemilang yang menyerlahkan identiti negara.

Malaysia menetapkan sasaran 200 pingat pada edisi kali ini dengan tumpuan kepada acara teras seperti badminton, gimnastik, olahraga, renang dan sepak takraw.

Kehadiran atlet muda berbakat seperti Aaliyah dan Andre dianggap sebagai simbol kesinambungan generasi baharu yang bakal mengangkat nama negara.

Untuk info, Thailand menjadi tuan rumah buat kali ketujuh sejak temasya bermula pada 1959.

Dengan tema ‘We Are One – Connected by the Sea’, Sukan SEA 2025 menekankan semangat persaudaraan serantau walaupun berdepan cabaran geopolitik dan isu sempadan.

Anda Mungkin Berminat