PETALING JAYA: Malaysia berdiri teguh bersama Filipina dengan memberi bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan yang dihadapi rakyatnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian usai menghubungi Presiden Filipina petang tadi.
“Petang tadi saya telah menelefon sahabat baik saya yang juga Presiden Republik Filipina Ferdinand ‘Bongbong’ Romualdez Marcos Jr. bagi menyatakan dukungan penuh Malaysia kepada republik tersebut yang kini dirundung malapetaka Ribut Tropika Kristine.
“Lantaran itu, tragedi dahsyat seperti ini memberi peringatan kepada kita akan pentingnya perpaduan serta kerjasama serantau yang erat.
“Sementara kita menggerakkan bantuan segera, kedua kami menyatakan perlunya usaha menyumbang kepada pemulihan jangka panjang serta inisiatif ke arah pembinaan semula,” kongsinya di media sosial pada Isnin.
Malah, Anwar turut mengulangi tekad untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan Filipina dalam memperkukuh tindak balas tangkas terhadap bencana sekali gus meningkatkan daya tahan (resilience) rantau ini.
“Kepada Presiden Bongbong dan rakyat Filipina, Malaysia berdiri teguh bersama Filipina dan tidak akan sesekali mengabaikan tetangganya terutama di saat getir dan tragedi,” katanya.
Minggu lalu, Pejabat Pertahanan Awam (OCD) di Filipina melaporkan 81 kematian akibat kesan dahsyat Ribut Tropika Kristine (Trami) yang melanda pelbagai kawasan di negara ini.
Selain Malaysia, tiga negara Asia Tenggara iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia turut menghantar bantuan untuk menyokong usaha pemulihan berikutan kemusnahan yang disebabkan oleh Ribut Tropika Kristine (Trami).