PUTRAJAYA: Malaysia menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan ketegangan di Yaman, khususnya susulan laporan operasi ketenteraan secara sehala dan kemaraan Majlis Peralihan Selatan (STC) di wilayah Hadramawt dan Al-Mahra.
Malaysia menegaskan perkembangan itu berisiko mengancam keselamatan yang sedia rapuh serta menjejaskan usaha ke arah penyelesaian politik di negara berkenaan.
“Tindakan sedemikian berpotensi mencetuskan perpecahan dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang dihadapi rakyat Yaman,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Malaysia turut menyatakan kebimbangan bahawa peningkatan ketegangan boleh menggagalkan kemajuan yang telah dicapai dalam proses perdamaian sebelum ini.
Dalam kenyataan sama, Malaysia memuji usaha berterusan oleh Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dalam membantu meredakan ketegangan di Yaman.
“Malaysia menggalakkan semua pihak serantau dan antarabangsa untuk menyokong inisiatif yang menegakkan kedaulatan dan integriti wilayah Yaman,” katanya.
Malaysia turut mengulangi sokongan penuh terhadap Majlis Kepimpinan Presiden (PLC) dan Kerajaan Republik Yaman sebagai pihak berkuasa yang diiktiraf untuk memimpin proses peralihan dan pembinaan keamanan.
“Kerangka perlembagaan dan politik Yaman perlu dihormati sepenuhnya,” tegas Malaysia.
Kerajaan Malaysia juga menggesa semua pihak agar terus komited kepada dialog dan rundingan secara aman serta menyelesaikan pertikaian melalui kaedah politik.
Malaysia menegaskan solidariti berterusan bersama rakyat Yaman yang terus berdepan penderitaan berpanjangan serta keperluan kemanusiaan yang mendesak.
Baca juga:








