Malaysia–Botswana Mantap Kerjasama Strategik Dalam Ekonomi, Pendidikan Dan Infrastruktur

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe, dalam satu pertemuan yang menyorot perjalanan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang telah terjalin lebih tiga dekad.

Pertemuan itu menegaskan asas hubungan yang dibina atas saling percaya, hormat dan aspirasi bersama demi kemajuan rakyat Malaysia dan Botswana.

“Menerima kunjungan hormat Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe dan kami menelusuri perjalanan hubungan diplomatik yang terjalin lebih tiga dekad atas dasar saling percaya, hormat dan aspirasi bersama demi kemajuan rakyat kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, Botswana terus kekal sebagai rakan strategik Malaysia di rantau Afrika dengan pelaburan yang merangkumi sektor pembuatan pendawaian automotif, kampus Limkokwing University di Gaborone serta operasi penyelenggaraan lokomotif dan gerabak oleh syarikat Malaysia.

Naib Presiden Gaolathe turut menyampaikan penghargaan atas kerjasama erat menerusi PEMANDU dan tenaga pakar Malaysia, yang telah membantu memperkukuh keupayaan institusi Botswana dalam agenda pertumbuhan ekonomi dan reformasi perkhidmatan awam.

Kedua-dua negara bersetuju untuk meneroka ruang kerjasama baharu yang memberi manfaat bersama, sekali gus membuka peluang lebih luas dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pembangunan kapasiti.

Sebagai tanda persahabatan, Perdana Menteri turut menitipkan salam kepada Presiden Duma Boko, menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan hubungan dengan Botswana.

“Saya turut titipkan salam kepada Presiden Duma Boko sebagai tanda persahabatan yang terus mengukuhkan hubungan Malaysia dan Botswana,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat