KUALA LUMPUR: Istana Negara sekali lagi menjadi saksi kepada detik bersejarah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berangkat tiba bagi Lawatan Negara selama empat hari ke Malaysia atas undangan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Istiadat Sambutan Negara berlangsung megah di Anjung Utama Istana Negara, dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti tembakan meriam 21 das sebagai tanda penghormatan tertinggi.
Baginda Sultan diiringi oleh Pengiran Muda Abdul Mateen serta delegasi kanan kerajaan Brunei, disambut oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri kabinet Malaysia.
Sebagai penghormatan kepada keberangkatan Baginda Sultan, satu Majlis Jamuan Negara telah diadakan di Istana Negara, memperlihatkan keindahan adat istiadat Malaysia serta keakraban hubungan diplomatik yang telah lama terjalin.
Majlis ini bukan sekadar jamuan rasmi tetapi lambang persaudaraan dan saling menghormati antara dua negara jiran yang berkongsi sejarah, budaya dan aspirasi serantau.
Lawatan ini turut disusuli dengan Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 (ALC), yang menjadi platform tertinggi untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Nilai dagangan antara Malaysia dan Brunei bagi separuh pertama tahun 2025 mencecah RM3.02 bilion dengan eksport bernilai RM2.18 bilion dan import sebanyak RM840 juta.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik, malah menegaskan komitmen kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama strategik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia dan Brunei.