PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei terus memperkukuh hubungan dua hala melalui pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, sempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-26 (ALC) yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana.
Pertemuan itu menyaksikan kedua-dua negara bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam sektor strategik termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga, hal ehwal maritim dan penyelesaian isu sempadan yang tertangguh.
“Antara yang dibincangkan termasuk soal sempadan, bidang kerjasama komersial yang merangkumi sektor tenaga, hal ehwal maritim, perdagangan dan pelaburan,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook, pada Rabu.
Malaysia turut mengalu-alukan penambahan penerbangan Royal Brunei Airlines ke Sabah sebagai usaha memperkukuh hubungan pelancongan dan mobiliti rakyat.
Selain itu, katanya, pembukaan Sarawak Trade and Tourism Office (STATO) di Bandar Seri Begawan dilihat sebagai langkah penting dalam memperluas jaringan ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua negara.
Kerjasama dalam bidang pertanian, sekuriti makanan dan pendidikan turut menjadi tumpuan, dengan kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk meneroka peluang baharu demi kemakmuran bersama.
Dalam pertemuan itu, Anwar dan Sultan Hassanal turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Myanmar serta perkembangan konflik di Kemboja dan Thailand, menunjukkan keprihatinan bersama terhadap kestabilan rantau Asia Tenggara.
Terdahulu, Malaysia dan Brunei telah menubuhkan Jawatankuasa Bersama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Bidang Kehakiman Syariah, sebagai langkah memperkukuh hubungan dalam aspek perundangan Islam dan pentadbiran kehakiman.