Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan agar 18 November dijadikan sebagai Hari Hak Asasi Manusia ASEAN, bersempena tarikh Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN yang diumumkan pada 18 November 2012.
Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon Tai Soon berkata, cadangan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tahunan di seluruh rantau itu memandangkan 10 Disember telah ditetapkan sebagai Hari Hak Asasi Manusia di peringkat global.
“Kami mencadangkan 18 November setiap tahun adalah Hari Hak Asasi Manusia untuk ASEAN.
“Jadi anda tahu, 10 Disember adalah Hari Hak Asasi Manusia di peringkat dunia pada setiap tahun,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau yang juga wakil Malaysia di AICHR menyatakan bahawa Malaysia percaya langkah ini akan mengukuhkan lagi komitmen ASEAN terhadap perlindungan hak asasi manusia yang menyeluruh serta berkesan.

Pada masa yang sama, Malaysia selaku pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) menekankan keutamaan hak asasi manusia di rantau ini menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dikemukakan oleh AICHR.
Selain itu, mesyuarat AICHR turut memberi tumpuan kepada beberapa pencapaian utama, termasuk usaha menerbitkan laporan ASEAN berkaitan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.
“Kami telah menerima banyak sokongan daripada Malaysia untuk menerbitkan laporan ini pada mesyuarat yang akan berlangsung pada Oktober ini. Ia akan menjadi laporan yang amat terkenal, jika kami dapat menerbitkannya.
“Ia hanya akan menjadi laporan kedua yang ASEAN akan terbitkan sejak 2012. Jika kami menerbitkannya pada tahun 2025, ia hanya akan menjadi laporan kedua mengenai hak-hak manusia yang ASEAN terbitkan di bawah Ketua Menteri Malaysia.
“Harapnya laporan itu akan mempunyai prinsip yang berkaitan dengan hak-hak manusia seperti hak kepentingan masyarakat, hak membuat keputusan dalam hal-hal yang berkaitan dengan alam semula jadi, hak kepada maklumat dan akses kepada keadilan,” tambahnya.
Di samping itu, AICHR turut mencadangkan satu Deklarasi Hak Keperluan dijadikan satu inisiatif hak istimewa ASEAN yang melangkaui hak ekonomi, merangkumi keperluan politik, sosial dan budaya.
“Jika diterima, deklarasi ini bakal menjadi pencapaian penting yang akan diketengahkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” kata beliau.
“Matlamat kita adalah untuk mendekatkan hak asasi manusia dengan rakyat. Ia bukan hanya konsep di atas kertas. Ia perlu menjadi realiti dalam kehidupan seharian,” tegasnya.
Pada masa yang sama, AICHR turut menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi konflik di Myanmar, Gaza, Palestin dan Ukraine.
Ketika ini, Kuala Lumpur menjadi tumpuan serantau apabila menjadi pengerusi serta tuan rumah buat Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil AICHR.
Mesyuarat tersebut berlangsung sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang bermula pada 8 hingga 11 Julai.
Lebih 40 menteri luar dan wakil daripada organisasi antarabangsa dijadual menghadiri beberapa siri mesyuarat pimpinan ASEAN.
Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu selepas mempengerusikannya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Baca juga: