Malaysia capai 43 peratus keseluruhan 248 indikator SDG

KUALA LUMPUR: Malaysia mencapai 43 peratus daripada keseluruhan 248 petunjuk terkini Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) jauh mengatasi purata dunia pada 17 peratus, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, prestasi itu jelas memberi petanda bahawa Malaysia berjaya mendepani cabaran yang dihadapi menerusi pembaharuan, namun ia bukanlah satu jaminan yang kekal.

“Dari analisis 248 petunjuk SDG yang terkini, pencapaian Malaysia adalah berada dalam kedudukan yang agak baik iaitu sekitar 43 peratus berbanding pencapaian dunia yang puratanya sekadar 17 peratus.

“Walaupun kita bangga kerana pencapaian 43 peratus ketimbang 17 peratus ini capai secara purata itu sudah satu tahap yang sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan
Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen, Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut Anwar, SDG ini merupakan satu kerangka pembangunan yang disepakati kebanyakan negara di dunia.

“Dan bila kita merangka Ekonomi MADANI di Malaysia, beberapa aspek ini memang diberikan penekanan.

“Maksud kemampanan, maksud kesejahteraan, maksud persekitaran yang terjamin, dalam cabaran menghadapi perubahan iklim itu diambil kira,” jelasnya.

Justeru itu katanya, selain menjayakan matlamat SDG dan juga kerangka Ekonomi MADANI, Anwar mengingatkan rakyat untuk terus menanam semangat dan kekuatan untuk melaksanakan perubahan selari dengan tuntutan semasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat