PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM378.5 bilion pada tahun 2024 yang merupakan rekod tertinggi dalam sejarah negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan itu meningkat sebanyak 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pelaburan domestik berjumlah RM208.1 bilion, manakala pelaburan asing berjumlah RM170.4 bilion.
“Lima negeri yang mencatatkan pelaburan tertinggi adalah Selangor (RM101.1 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM91.5 bilion), Johor (RM48.5 bilion), Kedah (RM45.8 bilion) dan Pulau Pinang (RM32.0 bilion),” katanya menerusi satu video di Facebook.
Tambahnya, pelaburan itu melibatkan 6,700 projek dan dijangka mewujudkan lebih daripada 207,000 pekerjaan baru.
Di mana, katanya, sektor perkhidmatan menyumbang RM252.7 bilion, manakala sektor pembuatan dan sektor utama masing-masing menyumbang RM120.5 bilion dan RM5.3 bilion.
Pada tahun 2023, Malaysia telah meluluskan pelaburan sebanyak RM329.3 bilion.
Peningkatan ketara itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia yang semakin berkembang.
Pada tahun 2023, sektor pembuatan dan perkhidmatan juga mencatatkan peningkatan pelaburan yang signifikan tetapi jumlah keseluruhannya masih di bawah rekod 2024.