Malaysia Catat Rekod Pelaburan Tertinggi – PM

PETALING JAYA: Malaysia berjaya mencipta sejarah apabila mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi negara pada tahun 2025, dengan nilai mencecah RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook rasminya pada Jumaat, menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan hala tuju ekonomi negara.

“8,390 projek telah diluluskan dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.

“Pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara,” katanya.

Beliau turut berkata, pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar jelas serta agenda pembaharuan ekonomi Malaysia.

Menurut Anwar, kejayaan itu adalah hasil usaha bersepadu Kerajaan MADANI bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Usaha bukan sekadar meluluskan pelaburan tetapi memastikan ia direalisasikan dalam bentuk peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan kemakmuran rakyat.

“Ini bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang kita laksanakan.

“Kita akan terus bekerja keras memastikan seluruh rakyat merasai nikmatnya,” katanya.

Anda Mungkin Berminat